Friday, 29 September 2017

BFF

Sejujurnya aku rindu saat kita cuma sebatas teman
Kau yang mendengar di setiap mimpi aku
Yang mengerti tiap satu impian aku
Menyokong satu persatu rencana aku
Biar bodoh walau tidak masuk akal
Kerana di akhir cerita kita pasti ketawa

Tiada memendam rasa
Tiada emosi terluka
Tiada ego merosak suasana

Aku rindu kita yang dahulu

Thursday, 28 September 2017

Decision

Bertahun atas kaki sendiri
Setiap yang diputus kesannya dipikul di pundak 
Lalu sekarang penentunya perlu dua
Bukan lagi buah fikiran dari hati yang mengikut emosi

Kau yakin rencana mahu diteruskan?

Wednesday, 4 January 2017

Tembok

berhari-hari dibina
bertahun membasuh luka
masakan sebab dia mahu diruntuh tembok segala
pasung lagi hati
jangan biar lari-lari
jangan biar menyinggah menempel di sisi
meski zat tidak sama
tetap juga namanya lelaki
jangan dilupa jenis yang sama mencipta derita
buang
jangan terbuai
hempas
biar berkecai
cukup separuh nyawa
jangan sampai hilang semua

Monday, 26 December 2016

Posesif

Kasih, rindu dan sayang aku 
Bukan maksudnya satu pemilikan
Apa lagi mahu menjadi tuan

Ikhlas, datangnya dari hati
Cinta aku bukan posesif

Friday, 9 December 2016

Penat

Kau yang hampir menuju bahagia
Jadi kenapa aku yang masih kau cari?
Sudahlah
Aku penat
Redha kau bukan untuk aku itu sudah cukup payah
Lagi kau mahu sulitkan hati aku
Pergi
Aku takkan hadir!

Wednesday, 30 November 2016

Pergi

Seketika
Aku terima pengakhiran
Tetap hati masih sakit 
Memikirkan bagaimana berakhirnya kita

Kadang aku ingin kembali 
Hanya untuk aku katakan 
Betapa aku tunggu kau sekian lama 
Bukan kerana lemah
Aku cuma percaya baiknya dalam diri kau

Aku pergi
Bukan kerana kau berhenti mahu aku
Aku pergi 
Sebab aku tidak cinta lagi diri aku 
Yang mencintai kamu

Sunday, 13 November 2016

Nafi

Dijenguk-jenguk ke luar
Mengharap ada yang hadir
Jangankan bayang
Kelibat pun tiada
Sepi, bukan?
Hati merindu tidak diberitahu
Kasih yang mekar dipendam diam
Apa lagi cinta dan sayang
Cuba dibuang tak mahu ditanam
Sakit, bukan?